PENJELASAN MENGENAI MEREKA YANG MURTAD. BOLEHKAH GOLONGAN INI KEMBALI KEPADA ISLAM?JOM SHARE!!!

PENJELASAN MENGENAI MEREKA YANG MURTAD. BOLEHKAH GOLONGAN INI KEMBALI KEPADA ISLAM?

Dalam al-Quran ada disebut mengenai persoalan ‘orang yang paling celaka, fasiq sesudah beriman’. Di sini saya ingin bertanya mengenai perbuatan orang Islam yang murtad dan menjadi Kristian tetapi selepas itu memeluk Islam semula. Saya ingin tahu apakah hukum Islam mengenai perbuatan orang seperti itu. Adakah perbuatan seumpama itu dibolehkan dalam Islam? Mohon penjelasan.

Mohd Shahbudin b. Ahmad
Damansara, KL.

JAWAPAN

Sebagai seorang Muslim, kita wajib untuk meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima oleh Allah SWT. Allah berfirman, maksudnya : “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali Imran:19).

Selain itu, Allah juga berfirman, maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi” (Ali Imran:85). Sebenarnya banyak lagi ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita bahawa sesungguhnya Islam itu satu-satunya agama yang benar dan diturunkan Allah serta diterima-Nya. Dengan sebab itu, dalam pegangan agama, seseorang Muslim tidak boleh memperolok dan mempermainkan agama Islam yang telah menjadi iktikad serta keyakinannya selama ini. Adalah menjadi suatu dosa besar jika melakukan sedemikian.

Perlakuan seperti ini adalah merupakan satu jenayah agama yang sangat besar di sisi Allah SWT. Allah berfirman, maksudnya: “dan sesiapa yang murtad di antara kamu (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam) lalu dia mati sedang dia tetap dalam kekafiran, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya” (al-Baqarah: 217).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman, maksudnya: “sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.” (an-Nisaa’: 137).

Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, jelas menunjukkan bahawa orang seperti yang disebutkan dalam soalan saudara itu telah melakukan jenayah besar dalam ajaran Islam dan sekiranya dia murtad, maka segala pahala amalan yang dilakukannya sebelum ini samada sembahyang, puasa, zakat dan mungkin pelbagai ibadat lain lagi akan terhapus begitu sahaja.Dan amat malang sekali sekiranya orang tersebut meninggal dunia dalam kekufuran, maka dia akan menjadi orang yang mati dalam keadaan syirik kepada Allah serta dosanya pasti tidak akan diampunkan.Tetapi sekiranya dia Islam, kemudian murtad dengan menganut Kristian, selepas itu memeluk Islam semula dan bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah serta memperelokkan agamanya berbanding sebelumnya, insyaAllah taubatnya itu akan diterima Allah SWT dengan syarat dia tidak lagi mempermain-mainkan agamanya. Sebaliknya terus berusaha menjadi seorang Islam yang baik, menghayati Islam sepenuhnya, mempelajari dan mengukuhkan lagi iman dan akidahnya kepada Allah SWT.

sumber:jagungmanis.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *